Kepentingan Hadis Dari Perspektif Quran

Sejak akhir-akhir ini, saya kerap didatangi oleh individu yang mendakwah secara agresif seruan untuk meninggalkan hadis sebagai salah satu dari sumber agama. Dalam penulisan ini, saya definisikan hadis sebagai merujuk kepada kata-kata para khalifah Allah, iaitu para pembawa berita, utusan dan pemimpin yang dilantik oleh Tuhan.

Saya rumuskan penghujahan mereka hanya kepada tiga point utama:

1. Para Rasul bukanlah individu maksum, dan kata-kata mereka tidak bersifat mengikat untuk diikuti. Satu-satunya perkara yang keluar dari mulut mereka yang bersifat mengikat adalah Quran atau kitab suci.

2. Sejarah hadis yang mereka sebutkan sebagai bermasalah, sekaligus membatalkan kesahihannya. Namun argumen ini hanya boleh ditujukan kepada sekte Sunni, kerana sekte Syiah mempunyai sejarah hadis yang berbeza, dan polisi berbeza dalam menanggapi hadis.

3. Membawa ayat-ayat yang menunjukkan Al-Quran adalah sebuah kitab yang sempurna, maka tidak ada lagi keperluan untuk rujukan lain.

Jadi saya akan menulis sebuah jawaban bersandarkan kepada Quran semata-mata bagi membuktikan kepentingan hadis di sisi Quran. Namun sebelum itu kita harus memahami cara memahami dan berhujah dengan Quran, agar kita boleh terus kepada penghujahannya kepentingan hadis di sisi Quran.

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّنْ عِندِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

[Dia lah yang menurunkan kepadamu Kitab. Sebahagian darinya  ialah ayat-ayat “Muhkamaat”; ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu kitab. Dan yang lain ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” . Oleh sebab itu adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya  melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.] 


(Quran 3:7)

Maka, peraturan asas untuk memahami Quran adalah dengan mendasarkan pembacaan kepada ayat Quran yang muhkam. Berkenaan ayat yang bersifat mutasyabih, ia hanya bisa difahami oleh mereka yang mendalam ilmunya, atau disebutkan dengan terma Al-Rasikhun Fil Ilm. Quran telah menerangkan kepada kita bahawa mereka adalah para khalifah Allah, yang terdiri dari para Nabi, Rasul dan Imam lantikan Allah. Bagaimana kita boleh tahu ayat tersebut sifatnya muhkam atau tidak? Mudah, jika perlukan tafsiran, maka ia bukan muhkam.

Sekarang kita boleh mulakan. Adakah Quran semata-mata mencukupi? Sayed Ahmed Al-Hasan berkata:
 
 
Quran telah disampaikan dengan cara yang sama dengan riwayat keagamaan yang direkodkan dalam kitab hadis, jadi mengapa sesetengah hadis ditolak dan yang lain diterima? Dan tafsir Quran manakah yang terbaik untuk Quran; dan apakah buktinya untuk kesahihannya berbanding yang lain? 
 
Sebagai tambahan, teks Quran murni, yang terhad kepada maksud yang sempit, literal dan ringkas, tidak dapat bersaing dengan pencapaian yang telah dicapai oleh manusia berkaitan evolusi dalam semua bidang, samada saintifik, sosial, politikal atau ekonomikal. 
 
 
Maka, jika anda dapat menerima kesahihan QUran, maka sudah semestinya anda dapat menerima kesahihan perkataan Khalifah Allah, kerana kedua-duanya mempunyai medium penyampaian yang sama, iaitu kata-kata Khalifah Allah, yang didengari oleh pendengar, dan direkodkan.
 
Dan Quran secara tunggal tidak memadai. Malah sebagai contoh di dalam bidang sains, makna literal Quran jelas menyanggahi biologi, fizik, geologi dan bidang saintifik yang lain. Maka kita memerlukan penjelasan kepada ayat Quran, khususnya ayat mutasyabih, berdasarkan penerangan para rasul yang memahami buku tersebut sepenuhnya.
 
 
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
 
[Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan..] (Quran 57:25)
 
 
بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
 
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata dan Kitab-kitab Suci; dan kami pula turunkan kepadamu Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.] (Quran 16:44)
 
Maka bukan sahaja Khalifah Allah telah diutuskan dengan kitab suci, malah mereka juga dipertanggungjawabkan untuk menerangkan kandungan kitab tersebut kepada manusia, sekaligus menunjukkan penekanan kepada kata-kata mereka.
 
Jadi, apakah kedudukan kata-kata para Khalifah Allah? Quran secara jelas menyebutkan kata-kata mereka sebagai wahyu!
 
وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ. مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ . وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ . إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
 
[Demi bintang semasa ia menjunam, Rakan kamu tidaklah ia menyeleweng, dan ia pula tidak sesat. Dan ia tidak memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.] (Quran 53:1-4)
 
Ayat ini jelas, tidak wujud sebarang keperluan untuk tafsiran. Ia menyebutkan seorang Khalifah Allah itu sebagai:
 
* Tidak menyeleweng
* Tidak sesat
* Tidak bercakap menurut kemahuan
* Bicara beliau adalah wahyu
 
Inilah sebabnya Tuhan memerintahkan makhlukNya untuk mentaati kata-kata utusanNya serta mereka yang mempunyai autoriti dari Tuhan, kerana kata-kata mereka adalah kata-kata Tuhan. Maka kita harus merujuki mereka, kerana merekalah Al-Rasikhun Fil Ilm, dan merekalah yang paling arif berkenaan kitab yang diturunkan bersama mereka.
 
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
 
[Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik, dan lebih elok pula kesudahannya.] (Quran 4:59)
 
 
Mari kita telusuri satu per satu poin dari ayat di atas:-
 
* Taat kepada Allah. Bagaimana kita mentaatiNya? Sudah tentu ia adalah dengan kita mentaati kata-kataNya. Dan ia adalah Quran.
 
* Taati utusan Tuhan dan ulil amri dari kalangan kamu. Ini adalah kumpulan kedua yang diperintahkan ketaatan oleh Tuhan. Perkataan “dan” memisahkan ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada utusan dan ulil amri. Tanpa ragu, ketaatan kepada utusan merujuk kepada ketaatan kepada kata-kata mereka (hadith), kerana seperti yang dijelaskan dalam ayat [Quran 53:1-4], kata-kata mereka adalah wahyu.
 
* Jika wujud sebarang permasalahan, maka kembalikan urusan tersebut kepada Allah dan utusanNya. Saya kira, tidak perlu lagi untuk saya jelaskan ayat ini.
 
Sekarang mari kita lihat beberapa ayat lain dengan isu dan nada yang sama dengan ayat di atas.
 
 
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا
 
[Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasul dan kepada – “Ulil-Amri” di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja.] (Quran 4:83)
 
 
 ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
 
[Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.] (Quran 59:7)
 
 
.قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
 
[Katakanlah: “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah: “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.] (Quran 3:31-32)
 
 
مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا
 
[Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal.] (Quran 4:80)
 
 
Ayat-ayat seperti ini adalah jelas membuktikan kata-kata para utusan Tuhan adalah wahyu, maka menjadi kewajiban kepada kita untuk mentaatinya. Tiada sebarang tafsiran tambahan diperlukan dan kewujudannya sangat banyak dalam Quran.
 
Saya kira, tidak salah jika saya bahaskan sedikit fakta di sini bahawa utusan Tuhan yakni para KhalifahNya perlu wujud pada setiap masa dan zaman, agar manusia bisa merujuki mereka. Jika pengutusan ini hanya terjadi dalam tempoh masa tertentu sahaja, maka ayat seperti ini akan menjadi sia-sia. Inilah yang kami percayai sebagai pengikut Ahl Al-Bayt dan Ahmed Al-Hasan, iaitu wujudnya pengutusan dari Tuhan hattakan selepas Nabi Muhammad (s), agar manusia bisa merujuki figur-figur ini dalam sebarang permasalahan.
 
Maka inilah ideologi Quran yang utama, iaitu pada setiap generasi, akan ada seorang yang dilantik Tuhan, diutuskan untuk memberi petunjuk dan memimpin makhlukNya kepada agamaNya dan sistem politikNya.
 
 
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولٌ ۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمْ قُضِىَ بَيْنَهُم بِٱلْقِسْطِ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
 
[Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul; setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.] (Quran 10:47)
 
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ
 
[Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat: “Sembahlah Allah, dan jauhilah thagut itu.] (Quran 16:36)
 
إِنَّمَا أَنْتَ مُنْذِرٌ ۖ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ
 
[Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk.] (Quran 13:7)
 
 
Para pembawa berita (nabi), utusan (rasul) dan pemimpin (imam) semua mereka adalah Khalifah Allah, dan perlantikan mereka berlaku sehingga akhir zaman. Ini dapat dibuktikan dalam ayat berikut:
 
 
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
 
[Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.] (Quran 2:30)
 
 
Kata “ja’il” (جَاعِلٌ) adalah “isim fi’il” atau “isim marfoo” iaitu kata kerja yang bersifat berterusan. [Rujukan].
 
Jadi ini bermakna, Tuhan akan sentiasa melantik dan mengutuskan KhalifahNya, walaupun sekarang. Namun manusia sentiasa mengulangi kesilapan umat yang lepas, menolak perlantikan Tuhan lantas menjadi sesat. Tuhan memerintahkan kita mentaati mereka, dalam apa jua keadaan.
 
Maka setakat ini, bolehlah saya simpulkan respon saya kepada Quranis seperti berikut:
 
1. Kaedah utama untuk berhujah dengan Quran adalah dengan semata-mata menggunakan ayat-ayat muhkam. Kita tidak boleh berhujah dengan ayat-ayat mutasyabih yang memerlukan tafsiran luaran. Tafsir adalah pendapat peribadi kamu, bukan wahyu itu sendiri, maka tidak bersifat mengikat untuk diikuti oleh sesiapa pun.
 
2. Tuhan telah menyebutkan kata-kata utusan Tuhan sebagai wahyu. Pihak Quranis mungkin akan mengatakan “kata-kata” ini hanya merujuk kepada Quran. Malangnya ia hanyalah tafsiran Quranis. Ayat tersebut menyebutkan secara jelas bahawa semua kata-kata utusan Tuhan adalah wahyu. Jelas.
 
3. Atas sebab itulah, Tuhan telah memerintahkan makhlukNya untuk mentaati utusanNya. Ini sekaligus menunjukkan kata-kata mereka (hadis) adalah perintah Tuhan, bersifat mengikat dan wajib diikuti. Malah Tuhan membidas keras mereka yang tidak mentaati dan merujuki dalam segala hal kepada para khalifahNya.
 
4. Khalifah Allah wujud pada setiap zaman, dan perlantikannya akan berterusan sehingga ke akhir masa.
 
Seterusnya mereka mungkin akan membawakan beberapa ayat dalam percubaan mereka membuktikan para Nabi bukanlah figur maksum. Setelah meneliti ayat-ayat yang dihujahkan mereka, ia semua adalah luar dari konteks dan bersifay mutasyabih. Mengapa anda menerima sesetengah ayat dan menafikan ayat yang lain?
 
 
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
 
[Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.] (Quran 2:85)
 
 
Begitu banyak sekali ayat yang menunjukkan kemaksuman mereka. Malah beberapa ayat yang saya hujahkan di atas sememangnya membuktikan kemaksuman mereka apabila Tuhan memerintahkan makhluk untuk mentaati para utusanNya tanpa gagal. Atau mungkinkah Tuhan memerintahkan kita mentaati seseorang yang bisa menyesatkan manusia?
 
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ ۗ قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعَالَمِينَ
 
[Mereka itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu akan petunjuk mereka; Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk itu. Ia tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.] (Quran 6:90)
 
 
Mengapa wujud beberapa ayat Quran yang seolah-olah menunjukkan mereka tidak maksum? Saya hanya akan menanggapi perkara ini secara ringkas.
 
1. Kemaksuman adalah suatu keadaan di mana seseorang itu membenci perbuatan dosa atau sebarang tindakan yang tidak baik, dan melindungi beliau dari menjadi sesat atau menyesatkan orang lain, tanpa menafikan kebebasan kemahuan mereka.
 
2. Kemaksuman para Khalifah Allah itu tergantung kepada amalan, kepercayaan dan kecintaan mereka kepada Allah, serta taqwa. Ini membuatkan mereka menjadi lebih utuh dari godaan dan penipuan syaitan dan kemahuan yang merosakkan.
 
3. Ayat-ayat yang dijadikan hujah oleh Quranis perlu diteliti dengan lebih mendalam tanpa mengabaikan ayat-ayat yang jelas menunjukkan keterlindungan para utusan Tuhan dan perlulah tidak mengandungi elemen syubhah, seperti yang disebutkan di atas.
 
4. Begitu banyak sekali ayat yang menujukkan kepada kemaksuman dan keperluan kepada kemaksuman tersebut walaupun terma “maksum” tidak digunakan. Sebagai contoh:
 
a. Beberapa ayat menyebutkan para Khalifah Allah sebagai Mukhlasin. Sebagai contoh 38:45-48. Bagaimana orang yang mukhlas bisa disesatkan?
 
b. Banyak ayat menyebutkan para Khalifah sebagai ditunjuki Allah. Sebagai contoh 6:84-90. Mana mungkin seseorang yang ditunjuki bisa disesatkan?
 
c. Dalam ayat-ayat lain, kita telah diperintahkan mentaati Khalifah Allah tanpa gagal, antaranya seperti yang telah saya kongsikan di atas. Perintah seperti ini memerlukan keterlindungan para Khalifah dari dosa dan kesesatan.
 
d. Ayat 72:26-28 mengisyaratkan Tuhan melindungi utusanNya dari segala segi, agar mereka bisa menjalankan tugas dengan sempurna.
 
e. Ayat Al-Tathir 33:33 menyebutkan kemaksuman Ahl Al-Bayt.
 
Adapun poin ketiga mereka, yakni Al-Quran sebagai kitab yang sempurna, bergantung kepada definisi mereka, saya bersetuju dengan fakta tersebut. Namun kita harus akui perkara tersebut:
 
1. Al-Quran adalah kitab yang sempurna, namun ia masih menyuruh kita mentaati perintah Khalifah Allah yang juga merupakan wahyu dan perintah Allah. Fakta ini harus dibantah terlebih dahulu, barulah kita boleh semata-mata merujuki Quran
 
2. Al-Quran adalah kitab yang sempurna, namun masih terlalu banyak ayat di dalamnya yang berbentuk mutasyabih, dan dalam masa yang sama Quran melarang kita beramal dengan ayat mutasyabih, yakni menafsir sendiri ayat tersebut. Kewujudan ayat-ayat ini menunjukkan ia bukanlah “sempurna” seperti yang difahami Quranis, tetapi ia sempurna dalam erti kata ia mencakupi pelbagai isu, namun hanya Khalifah Allah yang mendapal ilmunya bisa menerangkan dan menarik keluar ayat yang berkaitan, bukan Quranis, bukan saya, bukan mana-mana ulama. Tanpa mereka, Quran akan menjadi “tidak berguna”, kerana banyak ayat Quran yang berbentuk mutasyabih, namun manusia biasa dilarang menafsirnya.
 
3. Al-Quran adalah kitab yang sempurna, dan menyuruh kita melakukan pelbagai ritual bagi mendekatkan diri kepada Allah, namun tidak disertakan dengan kaedahnya. Quranis akan mengatakan bahawa jika tidak disebutkan caranya, maka terpulanglah kepada kita bagaimana ingin melakukannya. Ini adalah hujah dangkal. Sebagai contoh, apabila sesebuah kerajaan menetapkan semua rakyatnya wajib mempunyai kad pengenalan, namun tidak menyatakan di mana kita dapat membuatnya, berapa harganya, bagaimana prosedurnya, adakah logik kerajaan yang efisien berbuat demikian? Tidak sama sekali. Maka adakah logik kita menisbahkan kejahilan ini kepada Tuhan? Itulah yang dilakukan oleh Quranis dalam sengaja atau tidak.
 
 
Dengan itu, saya tutup penulisan ringkas ini sebagai membuktikan kepentingan dan validitas hadis dari perspektif Quran. Saya doakan semua kita ditunjuki ke jalan kebenaran dan terlindung dari kesesatan. Jika anda tidak bersetuju dengan penulisan ini, saya persilakan untuk menulis bantahannya. Buktikan dengan ayat Quran, ketaatan kepada kata-kata Khalifah Allah adalah batil, tidak mengikat dan dilarang Tuhan. Saya persilakan.
 
Akhir kata, hendaklah kita berlapang dada, dan tidak perlu kita bermusuhan hanya kerana tidak bersependapat. Mencaci dan menghina pihak yang tidak berselari dengan kita sudah pasti bukan sebahagian dari ajaran Quran.
 
 
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
 
Katakanlah: “Hai ahli kitab, marilah kepada suatu kalimat yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah”. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri”. (Quran 3:64)